Rossi makin hampir sertai Petronas SRT Yamaha

VALENTINO Rossi dan Petronas SRT Yamaha makin hampir mencapai persetujuan yang bakal menyaksikan pelumba Itali itu menyertai pasukan satelit pada Kejohanan Dunia MotoGP 2021.

Bos Petronas SRT Yamaha, Datuk Razlan Razali berkata, rundingan di antara beliau dan Rossi mengenai perjanjian terbabit menampakkan petanda positif dan mungkin dapat dimuktamadkan sebelum bermula musim 2020.

Rossi setakat ini belum mengesahkan secara rasmi sama ada akan terus berlumba selepas tamat musim Kejohanan Dunia MotoGp 2020 apabila perancangan asal mahu menggunakan pusingan awal musim ini sebagai penentu masa depan terjejas angkara krisis Covid-19.

Bagaimanapun, dia memberi bayangan mahu berada di grid pada 2021 dengan menunggang Yamaha M1 dan menyarung sut Petronas SRT.

Razali mendedahkan walaupun rundingan tampak rumit namun berjalan lancar dan mungkin dapat disahkan menjelang perlumbaan pembuka tirai di Jerez pada 19 Julai.

“Rundingan setakat ini sangat positif,” katanya. “Jika kedua-dua pihak bersetuju, semuanya akan menjadi positif dan kami sedang menuju peringkat akhir.

“Bagaimanapun, ia belum muktamad. Kami berharap isu ini dapat diselesaikan sebelum pemulaan bulan depan. Valentino Rossi bukan pelumba normal, jadi rundingan tidak mudah (membabitkan banyak pihak), banyak yang perlu dibincangkan bersama.

“Kami ada sidang video bersama Rossi. Dia mahu tahu jangkaan pasukan ke atasnya. Dengan situasi sekarang kami perlukan kestabilan dalam pasukan.

“Dalam situasi berbeza ini, adalah lebih baik bagi kami mengambil pelumba yang boleh memberi kestabilan kepada pasukan. Mungkin juga dia akan bersara dengan pasukan, ia satu penghormatan.”

Pada awal tahun ini, Rossi yang akan digantikan Fabio Quartararo dalam pasukan Yamaha Factory tahun depan mengesahkan mahu menggunakan pusingan pertama Kejohanan Dunia MotoGP 2020 sebagai penilai tahap kemampuan sebelum mengumumkan sama ada mahu terus berlumba tahun depan.

Dia berpendapat, jadual perlumbaan yang terjejas teruk musim ini bukanlah masa sesuai untuknya mengakhiri karier walaupun mengakui dia menikmati masa di luar trek.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Media Viral

Sumber : HM

Be the first to comment on "Rossi makin hampir sertai Petronas SRT Yamaha"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*