Ahli Keluarga Penghantar Makanan Yang Maut Dirempuh Mohon Suspek Dihukum Mati

AHLI keluarga penghantar makanan yang maut dirempuh pemandu mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara, awal pagi semalam, memohon suspek dihukum mati.

Peguam Sazlizam Ariffin berkata, permintaan anak guamnya, Zahlawati Zahlan, 47, mahukan suspek yang kini dituduh mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Pada pendapat saya sangat perlu (bawa tertuduh kepada hukuman 302) kerana ia bukan saja memandu dalam keadaan mabuk, tetapi selepas melanggar mangsa, dia cuba melarikan diri sehingga menyeret motosikal mangsa sejauh lebih kurang dua kilometer (km).

“Di situ ada elemen membunuh, jadi kita harap pihak polis dan pihak pendakwaan memandang serius dan mengkaji semula pertuduhan ke atas tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 44 APJ 1987.

“Sebab ada satu kes di Kuantan, Pahang lebih kurang sama kesnya membabitkan pemandu mabuk apabila suspek dituduh bawah Seksyen 302,” katanya ketika ditemui selepas menemani Zahlawati membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Zahlawati mahukan kertas siasatan dibuka bagi menyiasat semula kes itu berikutan jelas tertuduh sengaja memandu dalam keadaan mabuk dan melanggar suaminya, Allahyarham Mohamed Zaili Mohamed, 44.

“Saya mahukan keadilan sewajarnya apatah lagi dalam rakaman video tertuduh dilihat membuat tanda isyarat tangan ‘thumbs up’ yang menunjukkan tertuduh sedar dan tahu apa dilakukannya.

“Wang boleh dicari, tetapi saya sudah kehilangan suami sebab itu saya mahukan keadilan sewajarnya bukan untuk saya tetapi untuk anak-anak,” katanya.

Menurutnya, dia masih memerlukan masa untuk menerima pemergian suaminya itu.

“Saya niat hendak sehidup semati dengannya sehingga umur 70 atau 80 tahun tetapi ini terlalu awal sangat dia pergi.

“Dia baik sangat dan semua kawan-kawan sayang dia,” katanya.

Dalam kejadian 1.30 pagi Isnin lalu, Mohamed Zaili maut dirempuh pemandu mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara.

Kejadian dipercayai berlaku apabila Honda EX5 ditunggang mangsa dirempuh Nissan Grand Livina dipandu suspek berusia 21 tahun dari arah belakang.

Mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Antarabangsa, dekat Ampang selepas menghantar makanan dijual isterinya.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Media Viral

Sumber : HM

Be the first to comment on "Ahli Keluarga Penghantar Makanan Yang Maut Dirempuh Mohon Suspek Dihukum Mati"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*