Bekas isteri SM Faisal dipenjara seminggu

KUALA LUMPUR  “Semoga kes saya menjadi contoh dan dapat keadilan sewajarnya serta (ada) pihak dapat membantu untuk melihat kes saya di Mahkamah Syariah.”

Demikian kata Emilia Hanafi, 43, sebelum menyerah diri di pejabat polis Mahkamah Syariah Kuala Lumpur untuk dipenjarakan selama tujuh hari.

Bekas isteri ahli perniagaan terkenal, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal itu akan menjalani hukuman penjara di Penjara Wanita Kajang bermula hari ini atas kesalahan gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengenai tarikh lawatan tiga anaknya.

Emilia yang memakai jubah putih hadir ke mahkamah ditemani keluarga, sahabat dan penyokong.

Peguam syarie yang mewakili Emilia, Nazri Yahya berkata, anak guamnya akan menjalani hukuman di Penjara Wanita Kajang bermula hari ini.

“Selepas selesai menjalani hukuman penjara ini, anak guam saya akan hadir untuk prosiding di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang ditetapkan pada 6 Julai,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Emilia akan menyerah diri di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur hari ini dan menjalani hukuman penjara tujuh hari.

Emilia dikatakan terpaksa berbuat demikian kerana tekanan emosi yang berterusan dan trauma dihadapinya.

Pada 4 September 2019, Mahkamah Tinggi Syariah di sini menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap Emilia selepas membenarkan permohonan komital (menghina mahkamah) yang difailkan Faisal apabila wanita itu mengubah tarikh lawatan anak-anaknya.

Emilia kemudian dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 sementara menunggu rayuan.

Pada 8 Jun lalu, Emilia turut memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadapnya kerana mengubah tarikh lawatan anak-anak untuk bersama bapa mereka.

Ibu tiga anak itu menamakan SM Faisal, 43, bekas ibu mentuanya Puan Sri Zaleha Ismail, 70, dan lima pihak lain sebagai responden.

Turut dinamakan sebagai responden iaitu Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia.

Dalam permohonan itu, Emilia menyatakan, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hanya mempunyai bidang kuasa mahkamah tempatan yang terhad berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 4 Akta Undang-Undang Keluarga (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Emilia memohon suatu deklarasi Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur tidak memiliki bidang kuasa untuk mendengar prosiding komital dan menghukum individu yang bukan pemastautin Wilayah Persekutuan atas kesalahan menghina mahkamah.

Emilia juga memohon suatu perintah larangan untuk menahan prosiding komital syariah iaitu permohonan kebenaran mengeluar Notis Tunjuk Sebab (NTS) di Mahkamah Tinggi Syariah yang difailkan oleh SM Faisal.

Turut dipohon suatu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur yang membenarkan permohonan itu dan NTS yang dimeterai.

Sementara itu, adik Emilia, Ezhan Shahril, 42, berkata, dia amat berharap akan ada keadilan untuk kakaknya apabila dibebaskan nanti.

“Saya juga sudah menghantar sendiri surat rayuan kepada Istana Negara tiga bulan lalu supaya hukumnya dapat dikurangkan, namun hingga kini tiada jawapan,” katanya.

 

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Shakira Shakir

Sumber : 

 

Be the first to comment on "Bekas isteri SM Faisal dipenjara seminggu"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*