Adam mampu hidup setahun saja lagi – doktor

Alor Setar: Umurnya baru menjangkau setahun, namun bayi ini terpaksa melalui dua pembedahan dan rawatan kemoterapi akibat kanser otak tahap empat.

Nurul Asyikin Mustafa, 26, berkata, anaknya, Muhammad Adam Zikri Mohamad Zainal tidak lagi aktif seperti bayi lain dan sudah lebih sebulan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

“Mac lalu, anak saya demam berpanjangan dan muntah, pada mulanya doktor memberitahu dia kekurangan garam dalam badan namun demamnya tidak juga kebah.

“Pada 28 Mac, saya minta Adam dimasukkan ke wad dan pemeriksaan lanjut mendapati ada air di bahagian kepalanya menyebabkan pembedahan membuang air terpaksa dilakukan dengan memasukkan tiub bagi mengalirkan air,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Nawa, Pokok Sena.

Nurul Asyikin berkata, selepas pembedahan itu, Adam sekali lagi terpaksa dibedah pada 30 Mei lalu, apabila terdapat satu lagi ketumbuhan dikesan pada belakang kepalanya.

Katanya, sebelum itu anaknya itu sudah menjalani rawatan kemoterapi pada 13 Mei dan terbaru pada 28 Jun lalu.

“Saya sempat melihat dia selama 10 minit beberapa hari lalu di ICU, doktor beritahu Adam sudah tidak seaktif dulu selain rambutnya sudah gugur kesan kemoterapi.

“Doktor menjangkakan anak saya hanya mampu hidup setahun saja lagi, namun saya serahkan semuanya kepada Allah, sebagai ibu saya tetap mahu berusaha merawat Adam,” katanya ibu kepada dua orang anak itu.

Nurul Asyikin berkata, dia dan suami, Nama Mohamad Zainal Mohamad Khamis, 29, turut bimbang mengenai nasib anak sulungnya, Nur Arriana Zarrisha, 4, yang mengidap kanser tiriod sejak lahir.

“Setiap dua bulan sekali kami perlu membawa Nur Arriana pergi mendapatkan rawatan susulan di HSB.

“Setakat ini keadaan dia agak baik, tetapi saya selalu berdoa semoga kedua-dua anak sembuh dari penyakit mereka,” katanya.

Nurul Asyikin berkata, mereka sekeluarga kini hanya bergantung hidup kepada duit pengeluaran i-Lestari dan hasil sumbangan orang ramai selepas mendapat perhatian Cancer Survivor Malaysia (CSM).

“Suami hanya bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan kira-kira RM800 sebulan dan dia kini tidak dapat bekerja akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Rumah yang kami diami ini dibaik pulih hasil bantuan daripada Jabatan Penjara Malaysia dan CSM, wang yang ada kami guna dengan jimat cermat kerana perlu membayar pelbagai kos rawatan Adam dan membeli lampin pakai buang untuk dia,” katanya.

Orang ramai yang mahu membantu Nurul Asyikin boleh menghubunginya melalui nombor 017-4306631.

 

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Malaysia Times

Sumber : HMetro

Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut:

 

Be the first to comment on "Adam mampu hidup setahun saja lagi – doktor"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*